Tuesday, January 13, 2009

Perlaksanaan Hukum Hudud di Malaysia: Desakan dan Halangan

Tuesday, January 13, 2009
Perlaksanaan Hukum Hudud: Desakan dan Halangan (Siri 1)
Oleh: Abdul Aziz Hamzah

MUQADDIMAH

بسم الله الرحمن الرحيم

Hukum hudud yang menjadi sebahagian daripada hukum jenayah dalam islam telah dimaklumi, difahami dan diyakini oleh umat islam sejak ianya diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w , ia menjadi sebahagian daripada syariat Allah yang wajib diterima oleh umat islam sehingga menjadi sebahagian daripada aqidah atau iman. Betapa mendalamnya keyakinan masing-masing kepada hukum Allah ini sehingga berlakunya penjenayah hudud yang menyerah diri dengan ikrar secara sukarela dan ikhlas tanpa paksaan sedikit pun, walaupun bertaubat dalam hubungan diantara hamba dengan Allah dan memaaf dikalangan hamba lebih afdal tetapi tetap ada orang-orang yang memilih mengaku salah untuk dijatuhkan hukuman dunia kerana takut hukuman akhirat.

Apa yang berlaku sekarang sudah berbeza, sehingga hukum hudud menjadi suatu perkara yang dipertikaikan bukannya oleh penjenayah tetapi oleh orang yang memerintah, yang berkuasa dan dipilih mejadi pemimpin di zaman kini dengan alasan menggunakan akal semata-mata dan mahu memaksa hukum Allah dengan kehendak akalnya, menandakan betapa kesan serangan pemikiran oleh penjajah golongan kuffar dan setelah sistem hidup mereka dalam bidang politik, ekonomi, sosial, perundangan-perundangan dan lain-lainnya diatur dengan sistem sekular dan dajalisme yang sesat lagi menyesatkan itu.

Sesungguhnya hukum-hukum hudud itu adalah sebahagian dari syariat islam yang pokok dan asasi, yang telah ditetapkan oleh Allah Taala didalam wahyunya (Al-Quran) yang disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w dan yang kemudiannya dijelaskan dan diperincikan oleh baginda melalui ucapan, perbuatan dan taqrirnya yang dinamakan As-sunnah atau Al-Hadith.
Mudah-mudahan diberi petunjuk kepada yang jahil kerana jahilnya dan terlalu sukar untuk menghadapi yang jahil murakab dan terlalu angkuh dengan kejahilannya disertakan pula oleh keraguan yang sengaja ditimbulkan oleh ulama-ulama jahat yang ada di sepanjang masa, yang meletakkan kepentingan dunia mengatasi kepentingan akhirat dan sanggup menjual akhirat dengan dunia yang murah.


BIDANG JENAYAH

Dalam pengajian hukum islam, “jenayah” biasanya diertikan sebagai kesalahan yang boleh dihukum dengan keseksaan tertentu. Kata al-Mawardi, ia adalah “larangan syarak yang dicegah oleh Allah dengan (hukuman) had atau ta’zir.
Definisi ini penting dalam menentukan perbezaan antara ‘kesalahan jenayah’ dan ‘kesalahan sivil’. Mengikut para fuqaha, dalam jenayah, secara umumnya bersifat ganti rugi. Dikalangan para fuqaha klasik, mereka lebih biasa menggunakan istilah-istilah yang lebih khusus, iaitu ‘hudud’, ‘qisas’ dan ‘ta’zir’ dengan secara terpisah. [1]

HUDUD
Kesalahan hudud bererti kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman hudud. Dalam bahasa Arab, ‘hudud’ atau kata mufradnya ‘had’ bererti pembatasan atau pencegahan. Berasaskan pengertian ini para fuqaha mendefinasikannya sebagai keseksaan yang (bentuk dan kadarnya) telah ditetapkan (oleh syarak untuk dilaksanakan) bagi menjaga hak Allah. Kesalahn hudud adalah terdiri dari kesalahan-kesalahan berikut:

Berzina
Mencuri.
Menuduh zina, atau qazaf
Meminum arak.
Menyamun.
Memberontak.
Murtad.

QISAS
Ialah kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman qisas. Dalam bahasa Arab, qisas bererti membalas dengan perbuatan yang sama. Mengikut para fuqaha, ia adalah keseksaan yang (bentuk dan kadarnya telah ditetapkan oleh syarak dan dilaksanakan) sebgai hak persendirian. Secara terperincinya ia boleh dikategorikan sebagai berikut:
Kesalahan terhadap nyawa, iaitu membunuh.
Kesalahan terhadap tubuh badan, iaitu meluka atau mencederakan.
Kesalahn terhadap nyawa daripada satu aspek yang lain, iaitu kesalahan terhadap anak dalam kandungan.

DIYAT
Disamping itu, ada satu hukuman lain bagi kesalahan ini, iaitu diyat. Ia adalah hukuman alternatif apabila hukuman qisas tidak boleh dilaksanakan oleh sebab-sebab tertentu, seperti apabila jenayah itu sendiri berlaku secara tidak sengaja, ataupun separuh, atau apabila hukuman qisas tidak dapat dilaksanakan oleh sebab-sebab material, seperti tiada persamaan antara penjenayah dan mangsa, atau semata-mata kerana pihak mangsa tidak mahu melaksanakan qisas dan memilih diyat sebagi ganti.

TA’ZIR
Dalam bahasa Arab ta’zir bererti mendidik. Mengikut para fuqaha ta’zir bererti keseksaan yang bersifat dan kadarnya tidak ditentukan dengan secara terperinci oleh pihak syarak dan dilaksanakan bagi menjamin hak-hak Allah.
Berasaskan kepada sifat-sifat diatas kesalahan ta’zir telah dikelaskan oleh para fuqaha kepada kategori berikut:

Perbuatan maksiat.
Perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan awam.
Perbuatan atau tinggalan yang tidak sepatutnya.


HUDUD

Definisi:
1. Hudud; (jamak bagi had) batasan atau peraturan.
2. Hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T yang tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, minum arak dan sebagainya. [2]
3. Dari sudut bahasa hudud adalah kata jamak (plural) bagi perkataan ‘had’ bermaksud mencegah atau menyekat sesuatu, had juga bermaksud halangan. Mengikut kehendak istilah Fuqaha’ : Hudud bermaksud: Hukuman tertentu terhadap perbuatan jahat, dimana satu bentuk dan kadar hukuman keseksaan, telah ditentukan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran. Ianya wajib dilaksanakan untuk menjaga hak Allah Taala dan kepentingan masyarakat awam.[3]

PENGERTIAN JENAYAH HUDUD

Perkataan jenayah yang digunakan di dalam Bahasa Melayu berasal daripada Bahasa Arab, iaitu ‘Jinayah’. Perkataan jinayah atau kata jamaknya jinayat dan jarimah atau kata jamak lain jara’im adalah membawa maksud yang sama, iaitu kedua-duanya adalah larangan syarak yang diugut dengan pembalasan had atau ta’zir.
Al-Mawardi di dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniyyah beliau menyebut tentang takrif al-jaraim (iaitu pelbagai jarimah) katanya: Ia adalah pelbagai larangan syarak yang diugut/diancam dengan pembalasan had atai ta’zir. [4]

PEMBAHAGIAN JENAYAH HUDUD

Jenayah hudud adalah satu istilah yang menunjukkan satu kelompok jenayah yang khusus. Terdapat pelbagai pendapat tentang jenis-jenis jenayah yang termasuk dalam kategori jenayah hudud. Antaranya menurut pendapat ulama’ Mazhab Hanafi, ia mengandungi lima jenis jenayah, iaitu jenyah-jenayah curi, zina, qadhaf (tuduhan zina), minum arak dan minum-minuman yang memabukkan. Hal ini disebabkan mereka mengkhususkan had itu dengan maksud pelbagai pembalasan yang telah ditetapkan kadarnya oleh syarak yang dikira sebagai hak Allah Taala semata-mata ( yang bertujuan mengawal kepentingan ummah)
Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahwa jenayah-jenayah hudud itu kesemuanya ada lapan, iaitu jenayah zina, qadhaf, minum–minuman yang memabukkan , curi, rompak, penderhakaan, murtad dan pembunuhan sengaja yang mewajibkan pembalasan qisas.
Walau apapun pendapat tentang pembahagian jenayah hudud ia akan di jadikan pembahagian yang di putuskan sebagai asas kerana jenayah yang di sebut oleh mereka merupakan kadar minima yang diterima oleh sebahagian besar ulama.[5]
Rujukkan:
[1] Mahmud Zuhdi a. Majid, Pengantar Undang-undang Islam di Malaysia, Universiti Malaya, 1997.
[2] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi Keempat 2005.
[3] Abdul Samat Hj Hamzah, Shamsuk Kamal Abdullah; Pendidikan Islam 2 Modul Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi , Edisi Kedua 2005.
[4] Prof. Madya Dr. Mat Saad Abd. Rahman, Undang-undang Jenayah Islam, Penerbitan Hizbi, 1991.
[5] Prof. Madya Dr. Mat Saad Abd. Rahman, Undang-undang Jenayah Islam, Penerbitan Hizbi, 1991.

0 comments:

Post a Comment

 
AZYZ-FREEDOM © 2008. Design by Pocket