Saturday, February 7, 2009

Perlaksanaan Hukum Hudud di Malaysia: Desakan dan Halangan

Saturday, February 7, 2009

Perlaksanaan Hukum Hudud: Desakan dan Halangan (Siri 2)

Oleh: Abdul Aziz Hamzah

WAJIB MELAKSANAKAN HUKUM HUDUD

Melaksanakan hukum hudud adalah diwajibkan dengan nas-nas yang sahih antaranya firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

‘Sesungguhnya kami telah menurunkan kepadamu (Ya Muhammad s.a.w) akan kitab (al-Quran) dengan sebenarnya supaya kamu menghukum manusia dengan apa yang telah dinyatakan oleh Allah maka janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang yang khianat.”
(Surah an-Nisa’: Ayat 105)[1]
Ayat hukum untuk pencuri, firman Allah Ta’ala:
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka berdua sebagai satu pembalasan dengan
[1] Al-Quranul Karim, Surah An-Nisa’ Ayat: 105

sebab apa yang telah mereka usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
(Surah al-Maidah, Ayat: 38)[1]

Dengan berdasarkan kepada ayat diatas, Ibn Qudamah R.A.,berkata: Para ulama’ telah bersetuju menerusi ijma’ tentang wajib melaksanakan hukum hudud potong tangan keatas pencuri.

Ayat hukum tentang pembalasan terhadap orang murtad, sabda Rasulullah S.A.W.:

“Sesiapa yang menukarkan agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya”

Sekalipun Hadis diatas menyebut tentang pembalasan terhadap lelaki yang murtad, tetapi menurut pendapat jumhur, ia juga meliputi perempuan yang murtad
Perlu difahami bahawa di antara cara menghayati sifat-sifat Allah dan namanya yang Maha baik ialah percaya kepada hukum hudud dan beramal dengannya, kerana hukum hudud itu dari Allah Yang Maha Mengetahui maka dia juga Maha Mengetahui hikmah di sebalik hukum hudud itu, dan hudud juga adalah dari Allah Yang Maha Penyayang supaya tidak berlaku kemusnahan kepada hambanya. Sebenarnya tidak percaya kepada hudud dan tidak yakin kepada melaksanakannya lebih bermakna tidak percaya kepada sifat-sifat dan nama-nama Allah kerana hukum hudud juga terpancar daripada sifat-sifat kesempurnaan Allah dan kemuliaan nama-namanya.[2]

HUDUD DAN HUKUM-HUKUM ALLAH

Hudud dan HukumNya.
Allah Ta’ala berfirman:
{اذاحكمتم بين الناس أن تحكموابالعدل }
Maksudnya: “Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia,(Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (An-Nisa’: 58) [3]

Sesungguhnya yang dimaksudkan dengan “menjalankan hukum di antara manusia” pada ayat tersebut di atas adalah dalam perkara hudud dan hukum-hukumnya (huquq), kedua-duanya dibahagikan menjadi dua. Bahagian pertama adalah hudud dan hukum-hukumnya yang tidak diperuntukkan bagi golongan tertentu namun manfaatnya dirasakan oleh seluruh umat islam atau sebahagian daripada mereka. Semua umat islam memerlukannya.Bahagian ini disebut hudud Allah dan hukum-hukumNya, seperti hukuman keatas penyamun, perompak, pelaku zina, dan sebagainya. Begitu pula peraturan harta-harta kerajaan, wakaf, wasiat yang bukan untuk orang tertentu. Perkara-perkara itu merupakan masalah paling penting dalam pemerintahan. [4]



TANGGUNGJAWAB MELAKSANAKAN HUKUM ISLAM
Undang-undang Islam merupakan norma-norma hukum Islam yang memerlukan kuasa pemerintahan bagi menjamin perlaksanaannya dan mengenakan hukuman keatas sesiapa saja yang tidak mematuhinya. Ini bererti bahawa pada asasnya kewajipan melaksanakan undang-undang Islam itu terletak atas bahu kerajaan yang memerintah. Dalam Islam, institusi itui dikenali sebagai Uli al-Amr, iaitu golongan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Oleh kerana itulah dalam penulisan-penulisan Islam, pemerintah disebut sebagai pihak yang satu-satunya yang berhak melaksanakan pelbagai ketentuan yang ada dalam Islam seperti menubuhkan jentera pemerintahan dan pentadbiran , memutuskan pertikaian dan melaksanakan hukum serta keputusan. Walau bagaimanapun, oleh kerana pelaksanaan hukum Islam merupakan amr makruf nahi mungkar, setiap orang islam tidak boleh melepaskan diri daripada di pertanggungjawab dalam urusan dalam melaksanakan undang-undang Islam ini. Kewajipan ini boleh berubah sifat daripada berbentuk kewajipan aini dan kewajipan kifa’i mengikut keperluan yang ada dan kemampuan yang terdapat dalam masyarakat itu sendiri dari masa ke semasa. Paling kedepan sekali dalam kewajipan memikul tanggungjawab ini ialah para ulama’. Mereka adalah pewaris nabi dan orang yang sepatutnya menasihati pemerintah tentang islam dan cara hidup masyarakat dibawahnya. Sehubungan dengan ini konsep ulama’ itu sendiri perlu diperluaskan. Ia sepatutnya bukan saja mencakupi mereka yang secara tradisinya disebut sebagai ulama’ dalam masyarakat Malaysia sekarang, tetapi juga setiap mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang perundangan, termasuk undang-undang yang popular pada masa ini. [5]
Siapakah petugas yang bertanggungjawab melaksanakannya?

Dalam surah yang berikut dibuktikan:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul, dan taatilah uli al-amr” (An-Nisa’:59)[6]

Terdapat pelbagai tafsiran tentang maksud ungkapan uli al-amr yang di sebut dalam ayat di atas. Sekurang-kurangnya kita menemui tiga pendapat tentangnya. Menurut sebahagian ulama’, diantara mereka ialah Abu Hurairah, Ibn “abbas R.A., Maimun bin Marhan, Zaid bin Thabit,al-Sadi dan lain-lain, ungkapan tersebut maksud para umara’(para pemerintah). Menurut Ibn Abi Hujaih, Ibn ‘Abbas (dalam pendapatnya yang kedua ), Mujahid,’Ata’ bin said, al-Hasan dan Abu al-‘Aliah, ia bermaksud para ilmuan dan ahli perundangan (Fuqaha’). Selain dari mereka, ada kalangan ulama’ berpendapat ia bermaksud para sahabat Rasulullah S.A.W., dan pendapat ini di katakan daripada Mujahid. Pendapat yang terkuat di antara ketiga-tiganya menurut pandangan Ibn Jarir al-Tabari ialah yang pertama. Pendapat beliau dipersetujui oleh seorang tokoh lain iaitu al-Kiya al-Harrasi yang bermazhab Shafi’i. sementara qadi al-Qudah Abu al-Su’ud bin Muhammad ynag bermazhab hanafi mengatakan mereka adalah para pemerintah yang sah dan adil seperti para Khulafa’ al-Rashidin yang empat. Merekalah orang-orang yang wajib dipatuhi sebagai petugas yang melaksanakan hukum-hukum Allah di muka bumi ini. Sebenarnya tidak timbul apa-apa pertentangan diantara ketiga-tiga tafsiran diatas jika kita merujuk kepada syarat-syarat peribadi seseorang pemerintah Islam yang di antaranya dia di kehendaki sebagai seorang yang berilmu di samping kesempurnaan beberapa syarat lain pada dirinya.[7]
MALAYSIA NEGARA ISLAM ??

Para fuqaha’ islam mengistilahkan negara islam sebagai “Darul Islam”. Istilah ini mengandungi erti yang sama benar dengan istilah negara dalam pengertian undang-undang moden. Hal ini jelas sekali melihat kepada definasi mereka terhadap istilah “Darul Islam”. Meskipun banyak definasi itu hanya menekankan beberapa unsur negara. Tapi unsur negara yang tidak di tekankan itu sebenarnya tersirat juga dalam definasi tersebut. Definasi ini pada lahirnya menjelaskan unsur kekuasaan dan unsur daerah atau tempat. Tetapi secara tersirat ia merangkumi unsur penduduk dan sistem. Sebab suatu yang lumrah: bahawa orang-orang islam wajib melaksanakan hukum-hukum islam (hukum hudud). Ada pula yang menyatakan bahawa “Darul Islam” itu ialah tempat dimana syiar islam itu benar-benar jelas mempunyai kekuatan. Hukum atau kekuatan orang-orang muslimin
Tujuan negara Islam adalah sama dengan tujuan Islam itu sendiri; sebab negara tadi dibangun atas sifat dan keyakinan Islam. Tujuannya bukan sekadar mewujudkan keamanan; suasana damai, melindungi keselamatan rakyat dan menentang penceroboh musuh dari luar tetapi yang terutama ialah melaksanakan hukum-hukum Islam dalam segala urusan kenegaraan dan menyebarkan dakwah Islam diseluruh pelusuk dunia. Negara Islam berkewajipan menjamin setiap insan muslim dapat menunaikan ibadt kepada Allah serta hidup sesuai dengan tuntutan aqidah dan sistem Islam. Ia wajib menghapuskan faktor yang menghalang tercapainya tujuan itu dan juga setiap yang bertentangan dengan sistem ekonomi dan sosial Islam. [8]
Inilah tujuan dan matlamat negara Islam, yang pada umumnya berhasrat untuk melindungi kepentingan individu dan masyarakat dengan cara atau sistem yang di gariskan oleh Allah S.W.T.
Apakah negara Malaysia mengikut lunas-lunas tadi?, jika melaksanakan beerti ia telah menjamin masa depan umat Islam di Malaysia, dunia dan akhirat, jika Malaysia tidak melaksanakan bererti ia belum mencapai status negara Islam tulen dan ia dinamakan negara sekular.


Islam bukan agama rasmi bagi Malaysia

Islam kerap di rujuk sebagai agama rasmi Malaysia. Hakikatnya Malaysia tidak mempunyai agama rasmi. Perkataan-perkataan yang tepat untuk Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan adalah:
‘Islam merupakan agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam aman dan harmoni di sebarang tempat dalam Persekutuan ‘,

Perlembagaan kita telah dirumus setelah menjalani proses perundingan yang panjang dengan pelbagai individu. Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Suruhanjaya REID) telah melawat keseluruh pelusuk Tanah Melayu untuk mendapat pandangan daripada orang kebanyakkan dan juga institusi-institusi Suara demokratik rakyat Tanah Melayu pada masa kemerdekaan adalah sangat jelas sehingga ke sifat sistem politik dan perlembagaan yang mereka letakkan untuk diwarisi oleh anak cucu mereka . Parti Perikatan, yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC membuat penyerahan dan cadangan-cadangan kepada suruhanjaya. Cadangan mereka atas peruntukan yang sesuai untuk peranan Islam adalah sangat jelas, dan versi mereka untuk apa yang menjadi Artikel 3 berbunyi:
‘Agama rasmi Malaysia adalah Islam. Amalan atas prinsip ini tidak akan mengenakan sebarang sekatan keatas warganegara bukan muslim mengakui ketaatan dan mengamalkan agama masing-masing dan tidak akan membayangkan negara ini bukan sebuah negara sekular’
Islam sesungguhnya adalah ’agama rasmi’ tetapi bukannya agama negara. [9]

DESAKKAN DAN HALANGAN DALAM MELAKSANAKAN HUKUM HUDUD DI MALAYSIA

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan bercorak demokrasi berpelembagaan. Sistem hukum dan perundangan yang diterapkan oleh negara Malaysia masa ini adalah peninggalan imperialis barat, yang mana sistem ini bercanggah dengan tradisi keislaman ummah Malaysia. Hukum-hukum dan perundangan yang dihasilkan oleh manusia tanpa bimbingan daripada wahyu Allah S.W.T. tidak akan mencapai keadilan sepenuhnya, sebagaimana di buktikan sistem barat masa ini yang lebih condong mengikut telunjuk hawa nafsu semata-mata.
Hanya Pencipta Alam Semesta ini sahaja yang dapat membawa manusia menuju keadilan sejati kerana hanya Dia sahaja yang mengetahui dan melaksanakan keadilan yang sebenarnya. Maka islamisasi sistem hukum dan perundangan bererti menggantikan sistem perundangan yang ada pada masa ini, terutamanya segala bentuk sistem hukum dan perundangan peninggalan penjajah dengan sistem yang berasaskan hukum Islam (hukum hudud).
Di sebuah negara demokrasi seperti Malaysia sekarang, politik mempunyai kuasa tawar-menawar yang tinggi. Ahli-ahli politik yang liberal, iaitu yang lebih dominan di Malaysia sekarang biasanya bersikap pragmatis dalam melakukan sesuatu untuk masyarakat sesuai dengan arus masyarakat itu sendiri. Berasaskan kepada hakikat ini undang-undang islam mungkin lebih mudah terlaksana sekiranya kesedaran politik kearah itu mempunyai kuasa tawar-menawar yang berkesan. Apa yang penting bagi orang-orang politik liberal yang bersikap pragmatis seperti mereka yang memerintah Malaysia sekarang ialah mereka terus berkuasa dan dapat melakukan pembangunan material sebagaimana yang di lakukan sekarang. Sedangkan hal-hal yang diluar sempadan pembangunan bentuk itu boleh tertakluk kepada tawar-menawar politik dari masa ke semasa.
Hakikat seperti ini perlu di fahami oleh mereka yang berada dalam golongan yang memperjuangkan perlaksanaan undang-undang islam. Dalam perkataan yang mudah ia bererti bahawa pemerintah akan sanggup melaksanakan undang-undang islam sebagai undang-undang negara sekiranya ada jaminan politik daripada masyarakat bahawa dengan berbuat begitu pegangan mereka bertambah kukuh.

Desakkan Perlaksanaan Hukum Hudud.
Hukuman Hudud adalah hukuman Allah S.W.T yang bersifat adil secara mutlak, bukan hukuman yang zalim dan tidak mencetuskan huru-hara dinegara Malaysia ini.
Desakkan untuk melaksanakan hukum hudud telah disuarakan oleh beberapa pihak antaranya Parti Islam Semalaysia (PAS) yang mana desakkan untuk melaksanakan hukum hudud telah termaktub didalam dasar parti mereka. Sehubungan dengan itu, ada juga pihak –pihak lain yang mendesak untuk melaksanakan hukum hudud.
I. Apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II pada 24 November 1993, polemik mengenai hudud telah menjadi satu isu yang hangat dan ia diperbincangkan diseluruh pelusuk negara Malaysia. [10]
II. Professor Dr. Ahmad Ibrahim dalam bukunya ’Perundangan Islam; Dasar, Matlamat dan Pelaksanaannya di Malaysia’ menghuraikan ”Allah telah memerintahkan supaya hukum yang berlaku didalam masyarakat mestilah dengan ketentuan Allah (Hukum Allah). Oleh kerana itu, barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah bererti mereka telah menjadi kufur, zalim, dan fasik”. [11]
III. Seminar Syariah dan Common Law yang diadakan di Pusat Islam Kuala Lumpur atas anjuran Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM dan Majlis Peguam Malaysia dan kerjasama Bahagian Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, pada Mei 1992 telah memutuskan ketetapan untuk menyokong kerajaan Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melaksanakan hukum Syariah (Hukum Hudud) di negara ini. Surat tersebut berbunyi:
” Dengan rasa hormat dan sukacita, kami semua peserta Seminar Syariah dan Common Law di Malaysia yang telah bersidang pada 16-17 Mei 1992, di Dewan Muktamar Pusat Islam Kuala Lumpur dengan ini menyatakan sokongan penuh kami keatas cadangan untuk melaksanakan Hukum Syariah Islam di Negeri Kelantan. Pihak kami juga menghantar satu deklarasi kepada YB Menteri Kehakiman Malaysia untuk disampaikan kepada pihak Kerajaan Pusat”. [12]
IV. Haji Said Haji Ibrahim (Bekas Mufti Negeri Sabah) berkata ”Mereka yang mendakwa dan menyatakan hukuman hudud yang dicadangkan oleh ’PAS’ tidak boleh menjamin keadilan dan akan mencetuskan huru-hara dan hudud itu adalah ’Hudud PAS’, bukan ’Hudud Allah’ sungguh mengelikan hati dan sangat-sangat lucu kerana didalam Al-Quran hudud itu tidak ada yang lain selain daripada hudud Allah. Dakwaan mereka itu juga, menunjukkan kebebalan mereka mengenai dengan hukuman hudud Allah. Pihak PAS tidak akan membuat satu hukum yang lain, selain dari hukum Allah dan Rasul-Nya dan PAS hanya menyuarakan dan mencadangkan hukuman hudud itu dilaksanakan di negara Malaysia ini, selaku hukum Allah dan Rasul-Nya”. [13]


V. Daripada kertas kerja ’Hudud dalam Perundangan Islam” oleh Dr. Haron Din di seminar Pentadbiran Undang-Undang Syariah, Jenayah Dan Keluarga Islam Kedah yang diadakan pada 29 April hingga 1 Mei 1978, dalam rumusan tersebut beliau telah menyebut:
i. Hukum hudud hendaklah dilaksanakan oleh pemerintah islam kerana islam merupakan agama rasmi negara ini.
ii. Sejarah telah membuktikkan bahawa pemerintah islam yang mengamalkan hukum hudud mendapati bahawa kejadian jenayah berkurangan.
iii. Suatu peruntukkan undang-undang hendaklah dihantar menemui Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang bagi menyakinkan mereka dengan hukum hudud supaya dibawa usul mengenainya ke Parlimen Malaysia. [14]

Dalam pada itu, hukum hudud yang dibentangkan dan diluluskan oleh Kerajaan Kelantan telah diperakui menepati kehendak syarak oleh golongan agama dan cendekiawan islam negara ini.

Halangan Perlaksanaan Hukum Hudud.


Ummat islam di Malaysia kian terkeliru dan terpedaya dikalangan orang-orang islam sendiri yang mendakwa dan menyuarakan hukuman hudud itu tidak adil dan zalim dan bermacam-macam lagi dakwaan dan andaian yang dibuat oleh mereka sebagai helah dan dalih untuk menolak hukum hudud dilaksanakan di negara ini.
Antaranya mereka mendakwa dan menyatakan: [15]
a) Hukum hudud yang diluluskan oleh Kerajaan Kelantan bukan hudud allah tetapi adalah hudud PAS.
b) Di negara Malaysia tidak boleh dilaksanakan hukuman hudud kerana rakyatnya terdiri daripada masyarakat majmuk dan berbilang bangsa dan agama.
c) Di negara ini belum sampai masanya dilaksanakan hukuman hudud kerana tidak ada pakar dan ahli dalam perundangan islam.
” Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan Kerajaan Kelantan bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah kaburi matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Kelantan menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan islam. Jika PAS cuba juga untuk menlaksanakan hukuman hudud yang diciptanya yang sudah bercanggah dengan prinsip keadilan islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakkan yang sewajarnya terhadap Kerajaan Kelantan”. Dr. Mahathir Mohamad (Tarikh: 15 Julai 1994). [16]

Presiden UMNO (Ketika itu) Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataanya di Jitra, Kedah pada 9 September 1994 semasa merasmikan Persidangan Khas UMNO, bahagian Kubang Pasu antara lain menyebut,”Kerajaan Pusat akan menentukan undang-undang hudud yang dugubal oleh Kerajaan Kelantan tidak dilaksanakan kerana ia didapati bercanggah dengan ajaran islam”.(Berita Harian 15 Julai 1994).[17]

Timbalan Presiden UMNO (Ketika itu) yang satu ketika dahulu orang kuat ABIM dan bercakap lantang mengenai islam, Anwar Ibrahim dalam kenyataanya di Melaka berkata, kerajaan tidak menerima cadangan perlaksanaan hukuman hudud yang dikemukakan Kerajaan Kelantan keran pendekatan yang dugunakan tidak rasional. (Berita Hraian 26 Julai 1994). [18]

”Undang-undang Hudud muncul dari pendapat fuqaha. Terbentuk dari metodologi pentafsiran, pandangan tersebut diiktiraf melalui proses perundangan politik melalui ijma’ atau persetujuan dari pakar dari masa dan tempat tertentu, atau melalui pendapat majoriti. Proses ini adalah usaha manusia dan bukanlah injuksi suci”. (Sisters In Islam). Melalui memorundum ini Sister In Islam mengendalikan bengkel bagi membincangkan aspek Cadangan Undang-Undang tersebut (Kanun Jenayah Syariah II Kelantan), dan mereka mendapati telah prejudis terhadap wanita. Ia telah berlangsung di Universiti Malaya pada 4 Januari 1994.[19]


KESIMPULAN


Dalam realiti masyarakat Islam di Malaysia sekarang, persepsi akidah Islam tentang perlaksanaan undang-undang hudud dalam masyarakat dan bagaimana ia berbeza dengan persepsi yang ada dalam fahaman sekular perlu di perjelaskan dengan secara meluas. kerana masih ramai di kalangan penganut agama Islam di negara ini yang masih yang menganut atau sekurang-kurangnya di pengaruhi oleh fahaman sekular mengenai perlaksanaan undang-undang. Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang-orang yang tidak taat kepada suruhan agama didalam pengertiannya yang sempit, tetepi juga dari kalangan mereka yang di sebut sebagai beragama mengikut pengertian mereka.
Berdasarkan kepada latar belakang hidup dan pendidikan masing-masing mereka sempitkan tugas-tugas keagamaan mereka kepada hanya melaksanakan ibadat-ibadat asas dan menghayati nilai-nilai murni secara peribadi sahaja, sedangkan urusan perundangan dan kemasyarakatan bagi mereka merupakan hal-hal kedunian yang tidak ada sangkut paut dengan tugas keagamaan sendiri
Hukuman hudud yang di cadangkan oleh Kerajaan Kelantan adalah hukuman yang menjamin keadilan, kerana semua hukuman yang di kenakan keatas penjenayah-penjenayah yang di dakwa di bawah kesalahan-kesalahan yang boleh di jatuhkan hukuman hudud adalah hukuman yang telah di tetapkan dan di tentukan ALLAH S.W.T. dan RASUL-Nya yang termaktub didalam Al-Quran dan Hadith yang tidak bole di langgar ketetapan hukumnya. Oleh itu, perlaksanaan hukum hudud wajib keatas pemerintah (Malaysia). Semoga ALLAH S.W.T. memberi hidayah dan petunjuk kepada mereka-mereka yang mengingkari perintah ALLAH. Oleh itu, bagi orang-orang yang beriman, kembalilah kepada peringatan ALLAH S.W.T.

Wallahualam.


[1] Al-Quranul Karim, Surah Al-Maidah; Ayat 38.
[2] Abdul Hadi Awang, Isu Hudud, Jabatan Penerangan PAS Pusat, 1994.
[3] Al-Quranul Karim, Surah An-Nisa’, Ayat 58.
[4] Muhammad Ayman B. Abdullah, Politik Syar’i Dalam Membaiki Pemerintahan Dan Rakyat, Ibook Publications Sdn Bhd.
[5] Mahmud Zuhdi a. Majid, Pengantar Undang-undang Islam di Malaysia, Universiti Malaya, 1997.
[6] Al-Quranul Karim, Surah An-Nisa’: Ayat 59.
[7] Abd. Karim, Undang-Undang Jenayah Islam (Jenayah Hudud), Thinker’s Library Sdn. Bhd, 1989.
[8] Dr. Abd. Karim Zaidah, Kewajipan Menegakkan Negara Islam, Persatuan Ulama Malaysia, Dewan Pustaka Fajar, 1988.
[9] Kamal H.T, Assabiyah Dalam konteks Islam, Thinker’s Library Sds. Bhd, 1986.
[10] Tarmizi Mohd Jam, Hudud PAS (Senjata Membaham Empayar UMNO), An-Nahli Enterprise, 1995.
[11] Tarmizi Mohd Jam, Hudud PAS (Senjata Membaham Empayar UMNO), An-Nahli Enterprise, 1995.

[12] Tarmizi Mohd Jam, Hudud PAS (Senjata Membaham Empayar UMNO), An-Nahli Enterprise, 1995.
[13] Haji Said Haji Ibrahim, Pelaksanaan Hukuman Hudud Dalam Perundangan Islam Berteraskan Quran dan Hadith, Darul Ma’rifah Kuala Lumpur, 2000.
[14] Tarmizi Mohd Jam, Hudud PAS (Senjata Membaham Empayar UMNO), An-Nahli Enterprise, 1995.
[15] Haji Said Haji Ibrahim, Pelaksanaan Hukuman Hudud Dalam Perundangan Islam Berteraskan Quran dan Hadith, Darul Ma’rifah Kuala Lumpur, 2000.
[16] Tarmizi Mohd Jam, Hudud PAS (Senjata Membaham Empayar UMNO), An-Nahli Enterprise, 1995
[17] Tarmizi Mohd Jam, Hudud PAS (Senjata Membaham Empayar UMNO), An-Nahli Enterprise, 1995
[18] Tarmizi Mohd Jam, Hudud PAS (Senjata Membaham Empayar UMNO), An-Nahli Enterprise, 1995
[19] Rose Ismail, Hudud In Malaysia: The Issues at Stake, Sister In Islam Publications, 1995.

 
AZYZ-FREEDOM © 2008. Design by Pocket